Pandangan Tentang BI Menjadi Subjek Wajib Lulus Dlm SPM

Pengajaran dan Pembelajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) antara dasar kerajaan yang menimbulkan kontroversi di kalangan rakyat Malaysia terutama ahli pakar bahasa Melayu, Ibu bapa dan guru.

Baru-baru ini, kerajaan bercadang menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bermakna sekiranya pelajar lepasan SPM gagal subjek itu, mereka tidak akan memperoleh sijil dan hanya slip keputusan yang dipegang mereka sebagai bukti sudah menduduki peperiksaan itu.

Di sini, saya perhatikan ramai yang memandang mudah terhadap kepentingan bahasa Inggeris dalam memacu pembangunan negara mahupun dalam usaha melahirkan masyarakat minda kelas pertama. Ramai yang menjadikan Jepun sebagai negara contoh kerana negara itu mencapai status negara maju tanpa menggunakan bahasa Inggeris.

Ada segelintir pihak yang menyatakan mereka bimbang budaya Melayu semakin terhakis terutama selepas dasar PPSMI dan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM. Situasi ini menunjukkan betapa lemahnya pemikiran segelintir rakyat Malaysia dalam mengharungi kehidupan dunia moden ini.

Jika kita menilai kedua-dua dasar yang saya fokuskan tadi dari sudut positif, pelajar sekolah terutama Melayu boleh menyahut seruan kerajaan dengan belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan. Inilah yang dinamakan motivasi apabila kita berjaya menukar beban kepada cabaran.

Kesimpulannya, hakikat penggunaan bahasa Inggeris dalam negara terutama sistem pendidikan Malaysia memang banyak pro berbanding kontra. Maka, janganlah kita jadikan bahasa Inggeris sebagai satu bebanan, sebaliknya pandanglah dari sudut positif yang akan membuka jalan kepada kemajuan negara, seterusnya pembangunan minda pelajar.

No comments:

Post a Comment