1. SITUASINYA sama seperti satu permainan yang selalu dijalankan dalam aktiviti LDK (Latihan Dalam Kumpulan) di mana anda terpaksa memilih 4 daripada 6 orang untuk diselamatkan. Tentunya pilihan itu mesti tepat, jauh daripada kepentingan diri dan ada sebab yang kukuh mengapa anda memilih empat orang itu.
2. Cuma bezanya dalam permainan itu kita diberi masa selama beberapa minit sebab situasinya sangat kritikal, melibatkan nyawa dan keputusan perlu dibuat sepantas yang mungkin.
3. Tetapi dalam situasi sekarang kita diberi masa yang agak mencukupi meskipun tidak begitu panjang, iaitu dua minggu untuk membuat pilihan. Tentunya kita boleh memasukkan lebih banyak rasional sewaktu membuat pemilihan itu.
4. Keputusan yang kita perolehi dalam masa dua minggu ini akan menentukan ketepatan pilihan yang bakal kita buat untuk calon SPM 2010 yang kesannya akan dilihat dua puluh tahun selepas itu atau lebih cepat dari itu.
5. Memandangkan pemilihan yang kita sendiri tentukan dan keputusan yang bakal dibuat tidak sedikit kesannya ke atas pencapaian negara ini dan kualiti modal insan pada masa depan, maka kita masih berharap agar apa pun keputusan yang bakal diambil tentang hal ini tidak akan dilakukan dengan secara tergesa-gesa, malahan ia wajar mengambil kira semua faktor dan menimbang tara semua pandangan.
6. Kita berharap agar Kementerian Pelajaran tidak terkekang dengan tempoh dua minggu yang diberikan sebab kita masih ada masa sehingga akhir tahun ini sebelum keputusan rasmi dimuktamadkan bagi tujuan diguna pakai oleh calon SPM 2010.
7. Saya percaya berasaskan ucapan TS Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia beliau akan meneliti semua cadangan sebelum keputusan muktamad mengenainya dibuat.
8. Pengalaman mengendalikan PPSMI sepatutnya dijadikan pengajaran berguna oleh Kementerian Pelajaran. Pengajaran subjek Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris bukan tidak baik, malahan selari dengan matlamat yang terkandung dalam Wawasan 2020.
9. Cuma pelaksanaannya yang tergesa-gesa dan tidak sempat diperhalusi oleh ramai pihak yang berwibawa telah menjadikan pelaksanaan PPSMI menjadi bahan pertikaian yang berpanjangan sungguhpun idea itu dicetuskan oleh seorang yang sangat jauh jangkauan pemikirannya.
10. Kita mungkin boleh menggunakan beberapa pendekatan dan kaedah dalam membuat penentuan ini. Salah satu kaedahnya ialah sumbang saran dan 5 Wives 1 Husband (5W 1H) dalam memecahkan persoalan ini.
No comments:
Post a Comment